





Program Sokongan Profesional Tujuh Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan (KPM)
Khamis | 17 Julai 2025
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Encik Zainal bin Abas telah menyempurnakan pelaksanaan Program Sokongan Profesional Tujuh Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2025 yang berlangsung di SMK Balai Ringin dan SK Serian, Sarawak, pada hari Jumaat yang lalu.
Program ini bertujuan untuk menyampaikan sokongan profesional secara berfokus, berpaksikan kepada Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM yang menjadi hala tuju utama dalam memperkasa sistem pendidikan negara. Melalui pelaksanaan program ini, sekolah-sekolah dibimbing secara strategik bagi memperkukuh kualiti penyampaian pendidikan serta meningkatkan pencapaian murid. Dalam acara majlis yang cukup bermakna ini, YBrs. Timbalan Ketua Pengarah telah menyerahkan Tablet DIDIK (DT24) kepada murid yang terpilih.
Semasa lawatan tersebut, YBrs. Timbalan Ketua Pengarah turut mengambil peluang meninjau keadaan operasi dan infrastruktur sekolah, termasuk kemajuan pelaksanaan projek pembangunan sekolah daif. Usaha ini dilihat selaras dengan komitmen KPM dalam memastikan akses pendidikan yang berkualiti serta persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk semua warga sekolah.
Turut hadir bagi menyokong inisiatif ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, YBrs. Encik Omar bin Haji Mahli, yang bersama-sama dalam sesi libat urus serta pemantauan di lokasi.
![]()