





Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) 2026
Selasa | 24 Februari 2026
Sempena Program Jaulah Ramadan 2026 Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim telah menyempurnakan Program “Mampir Sahur” yang berlangsung di Sekolah Agama Menengah Muhammadiah sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan yang berteraskan nilai kebersamaan dan kebajikan.
Dalam program tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan Ramadan daripada Yayasan Didik Negara kepada 50 orang murid asnaf terpilih. Penyampaian ini melambangkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Program kemudiannya diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di SMK Sungai Besar. Selain itu, turut diadakan sesi ziarah cakna Ramadan melalui lawatan ke kediaman beberapa orang guru yang sedang berdepan dengan penyakit kritikal sebagai tanda sokongan moral dan solidariti warga pendidikan.
Dalam majlis yang sama, seramai 50 orang murid asnaf terpilih di SMK Sungai Besar turut menerima sumbangan tunai sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia, Bhg. Dato’ Ahmad Suhaimi bin Endut, bersama barisan pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai KPM. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh nilai keprihatinan, kebersamaan dan sokongan terhadap komuniti pendidikan di seluruh negara.
![]()