You are currently viewing Majlis Peluncuran AI Powered Classroom di SMKA Naim Lilbanat

Majlis Peluncuran AI Powered Classroom di SMKA Naim Lilbanat

Majlis Peluncuran AI Powered Classroom di SMKA Naim Lilbanat

Ahad | 21 Jun 2026

Majlis Peluncuran AI Powered Classroom telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hajah Aniza binti Kamarulzaman, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Negeri Kelantan. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam memperkasakan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan di sekolah-sekolah seluruh negara. SMKA Naim Lilbanat merupakan satu daripada 27 sekolah perintis AI-Powered Classroom di Malaysia dan satu-satunya sekolah di Kelantan yang terpilih untuk inisiatif ini. Pemilihan tersebut dibuat berdasarkan tahap kesediaan digital sekolah yang tinggi, di samping rekod cemerlang dalam mengintegrasikan teknologi ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kejayaan merealisasikan bilik darjah pintar ini turut disokong melalui kolaborasi strategik antara KPM bersama rakan industri iaitu Samsung, SNS Network, Sasbadi dan Micro Concept Tech Sdn. Bhd. yang telah menyumbangkan pelbagai peranti pintar serta menyediakan latihan khusus kepada warga sekolah bagi memastikan teknologi yang diperkenalkan dapat dimanfaatkan secara optimum. Sebagai tanda sokongan terhadap kesinambungan program ini, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan turut menyerahkan sumbangan dana berjumlah RM10,000 bagi membantu pelaksanaan aktiviti pembangunan murid dan pengukuhan ekosistem pendidikan digital di sekolah.

Turut hadir memeriahkan majlis ini yang terdiri daripada bahagian di KPM yang mewakili Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Bahagian Profesionalisme Guru (BPG), wakil Yayasan Didik Negara (YDN), Institut Aminuddin Baki (IAB), Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) serta Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP).

Pembangunan bilik darjah berteknologi ini menjadi bukti bahawa kolaborasi strategik antara kerajaan, institusi pendidikan dan rakan industri mampu menghasilkan impak yang signifikan kepada pembangunan modal insan negara. Semoga inisiatif ini terus memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta menjadi inspirasi kepada lebih banyak sekolah untuk mengadaptasi teknologi dalam memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran.

#7TerasKPM

#MalaysiaMADANI

#PendidikanManusiawi

#TaatSetia

#PendidikanNadiNegara

#KurikulumKita

#TerimaKasihCikgu

#RPM20262035

Loading

Leave a Reply