You are currently viewing Yayasan Didik Negara Terus Memperkasa Pendidikan Digital di Terengganu Menerusi Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital

Yayasan Didik Negara Terus Memperkasa Pendidikan Digital di Terengganu Menerusi Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital

Yayasan Didik Negara Terus Memperkasa Pendidikan Digital di Terengganu Menerusi Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital

Khamis | 16 Julai 2026

Yayasan Didik Negara (YDN) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong agenda transformasi pendidikan negara melalui pelaksanaan Program Sokongan Profesional (PSP) Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Lubuk Periuk, Hulu Terengganu.

Pelaksanaan program ini merupakan kesinambungan usaha strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasakan pendidikan digital secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM. Inisiatif ini memberi penekanan kepada usaha memastikan akses pendidikan digital yang inklusif, saksama dan berkualiti kepada semua murid tanpa mengira latar belakang atau lokasi sekolah.

Seiring dengan matlamat Inklusiviti, Ekuiti dan Kesaksamaan yang mendukung Matlamat Pembangunan Mampan Ke-4 (SDG 4): Pendidikan Berkualiti, program ini memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan perhatian khusus seperti Sekolah Kurang Murid (SKM), sekolah luar bandar dan sekolah daif. Pendekatan ini bertujuan memastikan jurang digital dapat dirapatkan serta setiap murid berpeluang menikmati manfaat pembelajaran berteraskan teknologi.

Dalam program tersebut, tiga buah sekolah di negeri Terengganu, iaitu SK Lubuk Periuk, SK Sungai Berua dan SK Delong, Dungun, telah menerima sumbangan Peranti Tablet dengan nilai keseluruhan sebanyak RM9,240.00. Sumbangan ini diharapkan dapat menyokong pelaksanaan pembelajaran digital di sekolah serta memperkukuh penguasaan kemahiran digital dalam kalangan murid dan warga pendidik.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan daripada Marrybrown Malaysia yang telah menyumbangkan sebanyak 600 set beg sekolah dan alat tulis kepada murid-murid di enam buah sekolah terpilih di negeri Terengganu. Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam menyokong pembangunan pendidikan negara melalui kerjasama strategik bersama Yayasan Didik Negara.

Kerjasama erat antara sektor awam, sektor korporat dan komuniti merupakan pemangkin penting dalam merealisasikan ekosistem pendidikan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing. Yayasan Didik Negara percaya bahawa sinergi yang kukuh antara semua pihak berkepentingan mampu mempercepat usaha memperkasakan pendidikan digital serta melahirkan generasi yang celik teknologi, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Yayasan Didik Negara akan terus komited sebagai pemudah cara dalam menghubungkan rakan strategik daripada pelbagai sektor bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan memberikan impak yang signifikan kepada murid, guru dan institusi pendidikan di seluruh negara. Melalui sokongan berterusan ini, agenda pendigitalan pendidikan negara diyakini dapat diperkasakan demi melahirkan modal insan yang berkualiti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

#bersamaydn

#7TerasKPM

#PendidikanManusiawi

Loading

Leave a Reply