





MITRA dan KPM Perkukuh Inisiatif Pendidikan di SJK Tamil Melalui Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India
Selasa | 28 Julai 2026
Kerjasama strategik antara Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) dalam usaha mempertingkatkan kemudahan serta persekitaran pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) terpilih.
Sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pelaksanaan program berjalan dengan teratur dan berkesan, Yayasan Didik Negara (YDN) memainkan peranan dalam membantu penyelarasan serta pengurusan pelaksanaan inisiatif yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) yang terlibat.
Lawatan pemantauan yang melibatkan SJK(T) Ladang Senawang dan SJK(T) Ladang Seremban ini bertujuan melihat perkembangan pelaksanaan inisiatif yang telah dilaksanakan, di samping memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh warga sekolah.
Menerusi PPSMI, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk Program Perabot MADANI, KALVI MADANI dan penyediaan Smart Board dengan peruntukan berjumlah RM4.071 juta oleh MITRA. Usaha ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan pembelajaran serta penyediaan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif, selesa dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
Kerjasama erat antara MITRA dan KPM mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan agenda memperkasa pendidikan dapat dilaksanakan secara berkesan, khususnya melalui penyediaan sokongan yang memberi manfaat secara langsung kepada murid dan warga pendidik. YDN juga kekal komited dalam menyokong agenda pendidikan negara melalui kerjasama bersama pelbagai pihak strategik, dengan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan mampu memberikan impak positif kepada sekolah, komuniti dan pembangunan modal insan.
![]()