You are currently viewing YDN Hargai Kecemerlangan Warga Pendidikan, Perkukuh Inisiatif Pendidikan Digital di SK Syeikh Mohd. Idris Al-Marbawi

YDN Hargai Kecemerlangan Warga Pendidikan, Perkukuh Inisiatif Pendidikan Digital di SK Syeikh Mohd. Idris Al-Marbawi

YDN Hargai Kecemerlangan Warga Pendidikan, Perkukuh Inisiatif Pendidikan Digital di SK Syeikh Mohd. Idris Al-Marbawi

Rabu | 25 November 2026

Yayasan Didik Negara (YDN) terus komited dalam menyokong kecemerlangan pendidikan negara menerusi penglibatan dalam Majlis Apresiasi Cemerlang 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Syeikh Mohd. Idris Al-Marbawi, Kuala Kangsar, Perak, hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YDN, Tuan Mohd Nasrul bin Khairi, dan turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan YDN, Encik Mohd Razi bin Jaafar serta warga kerja YDN.

Penganjuran majlis ini merupakan platform bagi mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan murid dalam bidang akademik, di samping menghargai komitmen serta dedikasi para pendidik yang telah memainkan peranan penting dalam membimbing dan membentuk potensi murid. Pengiktirafan turut diberikan menerusi penyampaian Anugerah Guru Inspirasi sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan jasa para guru.

Selain meraikan kecemerlangan warga sekolah, majlis ini turut menyaksikan empat inisiatif utama hasil kerjasama strategik YDN bersama rakan korporat, meliputi aspek pemerkasaan ekosistem pendidikan, akses kepada teknologi digital dan kebajikan murid.

Inisiatif pertama melibatkan pemeteraian Memorandum of Agreement (MoA) antara YDN dengan StudentPay Solution Sdn. Bhd. (MySP.AI). Kedua-dua pemeteraian ini mencerminkan usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam meneroka peluang kolaboratif serta menyokong pembangunan ekosistem pendidikan yang lebih inovatif dan berteraskan teknologi.

Inisiatif kedua menyaksikan sumbangan sebanyak 20 unit komputer riba JOI Classroom oleh rakan strategik YDN, SNS Network, menerusi program “JOI FOR ALL” kepada SK Syeikh Mohd. Idris Al-Marbawi. Sebagai simbolik penyerahan sumbangan, seramai lima orang murid telah dijemput ke pentas bagi menerima komputer riba tersebut dalam sesi gimik penyerahan yang berlangsung semasa majlis. Sumbangan ini diharapkan dapat memperluas akses kepada kemudahan teknologi digital, sekali gus menyokong proses pengajaran dan pembelajaran serta membuka lebih banyak peluang kepada murid untuk meneroka ilmu pengetahuan melalui teknologi.

Inisiatif ketiga pula melibatkan sumbangan sebanyak 20 unit beg sekolah oleh BIG CARING Group kepada murid-murid terpilih daripada keluarga berpendapatan rendah (B40). Sumbangan ini merupakan salah satu bentuk sokongan kebajikan bagi membantu meringankan beban keluarga, di samping memastikan murid mendapat kelengkapan persekolahan yang bersesuaian untuk meneruskan pembelajaran.

Dalam usaha memperkukuh kemudahan pendidikan digital di sekolah, Ketua Pegawai Eksekutif YDN, Tuan Mohd Nasrul bin Khairi, turut menyampaikan sumbangan sebanyak 10 unit peranti DT24 kepada pihak SK Syeikh Mohd. Idris Al-Marbawi. Sebagai simbolik penyerahan, sebuah peranti telah diserahkan kepada Guru Besar sekolah dalam sesi gimik penyerahan yang berlangsung semasa majlis. Sumbangan ini mencerminkan komitmen YDN dalam memperluas akses kepada kemudahan pembelajaran digital serta menyokong usaha sekolah menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan selari dengan perkembangan teknologi.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan komitmen YDN dalam memperluas manfaat pendidikan melalui kerjasama strategik bersama sektor korporat. Sinergi antara institusi pendidikan, yayasan dan rakan strategik merupakan elemen penting dalam memastikan sokongan terhadap pendidikan tidak hanya tertumpu kepada aspek akademik, malah merangkumi pemerkasaan digital serta kebajikan murid.

YDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan SK Syeikh Mohd. Idris Al-Marbawi, barisan pentadbir, para guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta seluruh warga sekolah atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan majlis ini.

Penghargaan turut diberikan kepada StudentPay Solution Sdn. Bhd. (MySP.AI), Touch ‘n Go Sdn. Bhd., SNS Network dan BIG Caring Group atas sokongan serta kerjasama strategik yang diberikan dalam menjayakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada warga sekolah.

YDN berharap agar usaha seumpama ini dapat diteruskan melalui kerjasama erat antara institusi pendidikan, sektor korporat dan rakan strategik bagi memastikan lebih banyak peluang serta manfaat pendidikan dapat dinikmati oleh murid, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.

Tahniah diucapkan kepada semua murid dan guru yang menerima pengiktirafan. Semoga kejayaan yang dicapai menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan serta inspirasi kepada seluruh warga pendidikan. YDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan SK Sheikh Mohd Idris Al-Marbawi, barisan pentadbir, para guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta seluruh warga sekolah atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan majlis ini.

Penghargaan turut diberikan kepada SNS Network, StudentPay Solution Sdn. Bhd. dan Touch ‘n Go Sdn. Bhd. atas sokongan serta kerjasama strategik yang diberikan dalam menjayakan inisiatif berkenaan. YDN berharap agar usaha seumpama ini dapat diteruskan melalui kerjasama erat antara institusi pendidikan, sektor korporat dan rakan strategik bagi memastikan lebih banyak peluang serta manfaat pendidikan dapat dinikmati oleh murid.

#bersamaydn

#7TerasKPM

#MalaysiaMADANI

#PendidikanManusiawi

#TaatSetia

#PendidikanNadiNegara

Loading

Leave a Reply