





Lawatan & Taklimat Sempena Program Pendigitalan Siri Ketiga Tahun 2025 di Institusi Pendidikan Guru (IPG)
Khamis | 2 Oktober 2025
Sempena Program Pendigitalan Kampus Siri Ketiga Tahun 2025, Yayasan Didik Negara (YDN) telah mengadakan jelajah ke 27 IPG di seluruh Malaysia bagi mengadakan lawatan dan sesi taklimat bersama Jabatan Perwakilan Pelajar (JPP) di setiap IPG. Program ini merupakan inisiatif jalinan kolaboratif Paynet Network Malaysia Sdn Bhd bersama-sama Yayasan Didik Negara (YDN) dalam mempupuk kesedaran penggunaan e-pembayaran tanpa tunai dalam kalangan siswa dan siswi guru sepanjang kempen ini berlangsung bermula pada bulan Mac yang lalu.
Semasa membuat tinjauan lawatan di setiap IPG, YDN telah disambut mesra oleh Pengarah IPG bersama Timbalan Pengarah serta barisan pengurusan institusi. Sesi dimulakan dengan ucapan aluan daripada pihak tuan rumah yang menzahirkan penghargaan atas kunjungan rasmi tersebut, disusuli dengan taklimat terperinci oleh wakil JPP mengenai pelaksanaan dan perkembangan Kempen Tanpa Tunai di kampus.
Dalam taklimat tersebut, JPP membentangkan pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital dalam kalangan warga IPG. Antara yang diketengahkan termasuk penggunaan e-dompet, kod QR, dan aplikasi perbankan digital dalam urusan harian seperti pembelian di kafeteria, pembayaran yuran aktiviti, serta jual beli semasa program-program pelajar. Pihak YDN turut memberi maklumbalas secara menyeluruh berkenaan strategi pelaksanaan, tahap penerimaan pelajar, serta cabaran dan langkah penambahbaikan yang telah diambil bagi memastikan kejayaan kempen ini.
Kempen ini dilihat sebagai satu pendekatan progresif dan relevan dalam mendidik generasi pendidik masa hadapan ke arah literasi digital yang tinggi. Kempen Tanpa Tunai bukan sahaja memudahkan urusan seharian pelajar, malah memberi pendedahan awal kepada konsep pengurusan kewangan digital yang kini menjadi norma dalam kehidupan masyarakat moden.
YDN amat berbesar hati dengan sambutan yang diberikan oleh pihak di seluruh IPG yang terlibat dan berbangga dengan inisiatif pelajar yang berani mencetus perubahan. Usaha ini diharap dapat menjadi penanda aras kepada institusi lain dalam melaksanakan program seumpamanya, sekali gus memperkukuh budaya kampus pintar yang lebih efisien dan progresif.