





Majlis Penyerahan Peranti DIDIK (DT24) Wakalah Zakat Kementerian Pendidikan (KPM)
Selasa | 23 September 2025
Yayasan Didik Negara (YDN) meneruskan lagi inisiatif murni dalam merapatkan jurang digital pendidikan melalui pelaksanaan Majlis Penyerahan Peranti DIDIK (DT24) Wakalah Zakat KPM, yang pada kali ini telah berlangsung di negeri Melaka. Program yang berimpak tinggi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan YDN dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa pendidikan digital khususnya dalam kalangan murid yang terpilih.
Majlis penyerahan tersebut melibatkan dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kelebang Besar dan Sekolah Kebangsaan Tengkera (1). Kedua-dua sekolah berkenaan masing-masing telah menerima sebanyak 100 unit tablet Didik DT24 setiap sekolah, yang diperuntukkan kepada murid-murid terpilih berdasarkan kriteria sosioekonomi yang ditetapkan. Pemberian ini dijangka dapat meningkatkan akses kepada sumber pembelajaran digital, sekali gus menyokong perkembangan kemenjadian murid secara holistik dalam era teknologi masa kini.
Majlis penyerahan peranti ini telah disempurnakan oleh Dr. Nani Herlin Binti Jamin, Ketua Penolong Pengarah, Unit Dasar Pendidikan Digital, Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM. Dalam ucapan beliau, Dr. Nani Herlin menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan tiada murid yang tercicir daripada arus pendidikan digital. Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja memberi kemudahan pembelajaran kepada murid, malah memperlihatkan hasil kerjasama antara YDN dan syarikat-syarikat korporat yang turut serta dalam mengoptimumkan agihan sumbangan ke arah pembangunan modal insan yang seimbang dan berkualiti.
Semoga usaha inisiatif seperti ini diharapkan dapat diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negara demi menjadi murid fasih digital di masa akan datang.