





Majlis Penyerahan Peranti Wakalah Zakat KPM dan Pek Kembali ke Sekolah di SK Bukit Jawa
Ahad | 18 Mei 2025
Majlis Penyerahan Peranti DIDIK (DT24) di SK Bukit Jawa telah menjadi lokasi seterusnya bagi pelaksanaan Program Penyerahan Peranti Wakalah Zakat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang menyasarkan murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan bantuan peralatan pembelajaran digital.
Melalui inisiatif ini, sebanyak 100 unit peranti telah diagihkan kepada murid-murid yang dikenal pasti, sebagai usaha untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih menyeluruh dan adil dalam era digital masa kini. Peranti ini bakal dimanfaatkan bagi kegunaan pembelajaran kendiri, latihan dalam talian serta sebagai medium capaian kepada sumber ilmu yang lebih luas. Ia secara tidak langsung menyokong hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara murid bandar dan luar bandar.
Majlis yang berlangsung penuh tertib ini turut disertai oleh pentadbir sekolah, guru-guru, wakil Pejabat Pendidikan Daerah, dan ibu bapa murid terlibat. Kehadiran dan sokongan semua pihak membuktikan bahawa pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat. Turut hadir juga wakil dari Marrybrown yang merupakan rakan strategik kepada YDN dalam memberikan bantuan kelengkapan sekolah bagi murid-murid yang memerlukan.
Adalah diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala dan diperluas manfaatnya ke lebih banyak kawasan pada masa hadapan, agar tiada murid yang tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekurangan kemudahan asas.