


Majlis Penyerahan Peranti Wakalah Zakat KPM kepada Murid Terpilih di Wilayah Persekutuan Putrajaya
Selasa | 9 Januari 2024
Bagi menyambut permulaan tahun 2024, Yayasan Didik Negara (YDN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Peranti Tablet Wakalah Zakat KPM yang berlangsung di dua buah sekolah terpilih di Wilayah Persekutuan Putrajaya, iaitu SK Putrajaya Presint 9(2) dan SK Putrajaya Presint 18(1).
Dalam majlis tersebut, seramai 250 orang murid yang layak telah menerima peranti tablet khas bagi menyokong keperluan pembelajaran digital mereka, termasuk akses kepada buku teks digital serta bahan pengajaran interaktif. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan YDN dalam memperkukuh kemahiran digital dalam kalangan pelajar, sejajar dengan agenda pendigitalan pendidikan negara.
Penyerahan peranti melalui dana Wakalah Zakat KPM ini bukan sahaja bertujuan untuk merapatkan jurang digital, malah memberi peluang kepada murid daripada golongan yang memerlukan untuk memperoleh akses kepada sumber pendidikan berkualiti secara lebih inklusif dan efisien.
YDN komited untuk terus menyokong usaha KPM dalam memperkasakan ekosistem pembelajaran digital, sekaligus memastikan tiada murid tercicir dalam arus kemajuan teknologi pendidikan.