





Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Persekolahan Yayasan Didik Negara Tahun 2025
Rabu | 19 Februari 2025
Seramai 100 murid terpilih dari empat buah sekolah di Putrajaya menerima sumbangan kit kembali ke sekolah dan baucar pendidikan Didik School2U bernilai RM50 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung pada 19 dan 20 Februari 2025 dengan penuh kesyukuran dan semangat kebersamaan. Majlis penyerahan ini melibatkan empat buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(3), Presint 18(1), Presint 9(2) dan Presint 14(1), dengan setiap sekolah diwakili oleh pelajar terpilih yang layak menerima bantuan.
Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan keluarga penerima menjelang sesi persekolahan baharu, di samping memberi semangat dan motivasi kepada murid-murid agar lebih berdaya saing dalam pelajaran. Kit kembali ke sekolah merangkumi keperluan asas seperti pakaian seragam, alat tulis, dan beg sekolah, manakala baucar Didik School2U boleh digunakan untuk mendapatkan bahan pendidikan tambahan secara dalam talian, termasuk modul pembelajaran interaktif dan buku digital.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Yayasan Didik Negara (YDN) sebagai agensi dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuhkan agenda pendidikan inklusif dan memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan arus perdana. Dengan adanya kerjasama strategik antara pihak sekolah, komuniti dan penyumbang korporat, program seperti ini diharap dapat diteruskan dan diperluas manfaatnya kepada lebih ramai pelajar yang memerlukan pada masa akan datang.