


Kunjungan Hormat Delegasi Yayasan Didik Negara (YDN) ke Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan
Rabu | 15 Oktober 2025
Satu kunjungan hormat telah diadakan antara delegasi Yayasan Didik Negara (YDN) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) bagi meneroka kerjasama jangka panjang dalam memperkukuh pembangunan pendidikan di peringkat negeri. Fokus utama pertemuan ini adalah ke arah memperluas akses pendidikan berkualiti, memperkukuh sumber pembelajaran, serta membangunkan model penjanaan dana yang mampan bagi menyokong ekosistem pendidikan negeri.
Delegasi YDN yang diketuai oleh Encik Mohd Razi bin Jaafar, Ketua Pegawai Kewangan Yayasan Didik Negara bersama Puan Zariana binti Abdullah, Ketua Rakan Strategik dan Penjanaan Dana Yayasan Didik Negara telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan yang menyambut baik usaha penjajaran antara agensi kerajaan, sektor pendidikan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan dalam memacu agenda pendidikan negeri. Beliau turut menzahirkan hasrat agar kerjasama seperti ini dapat membantu melonjakkan kualiti pendidikan, sejajar dengan aspirasi menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah Lembah Ilmu yang progresif dan berdaya saing.
Pihak JPNS diwakili oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Puan Khalidah binti Haji Omar, bersama Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah), Encik Aminuddin bin Kamisan serta Ketua-Ketua Penolong Pengarah JPNS turut hadir bersama-sama dalam sesi perbincangan ini.
YDN percaya bahawa kerjasama yang dibentuk ini bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan negeri, dan berharap agar sinergi antara semua pihak dapat diteruskan demi mencorakkan masa depan pendidikan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
#7TerasKPM
#MalaysiaMADANI
#PendidikanManusiawi
#TaatSetia
![]()