





Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital
Rabu | 28 Januari 2026
Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital yang berlangsung dari 25 hingga 28 Januari 2026 telah berjaya dilaksanakan di Negeri Sabah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh pelaksanaan pendidikan digital di peringkat sekolah.
Program ini telah diketuai oleh Dr. Rusmini binti Ku Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), bersama Puan Hajah Aniza binti Kamrulzaman, Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan. Turut hadir ialah Tuan Mohd. Nasrul bin Khairi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara (YDN).
Sepanjang program berlangsung, beberapa lawatan kerja telah diadakan ke sekolah-sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan Mabul dan Sekolah Kebangsaan Kunak, dengan penyertaan SK Rancangan Lubuh, SK Pitas dan SK Pulau Sanghai. Lawatan ini bertujuan menilai keperluan serta memperkukuh sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif pendidikan digital di sekolah-sekolah terlibat.
Sebagai sebahagian daripada program, Yayasan Didik Negara telah menyumbangkan Peranti DIDIK (DT24) kepada sekolah-sekolah terlibat bagi menyokong pembelajaran digital dalam kalangan murid. Selain itu, pihak Marrybrown Malaysia turut menyumbangkan bantuan menerusi inisiatif “Back To School” sebagai sokongan kebajikan kepada murid-murid.
Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia bersama rakan strategik dalam memperkasakan ekosistem pendidikan digital yang inklusif dan mampan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
![]()