





Memperkasa Pendidikan SJKT Melalui Inisiatif Perabot MADANI dan Kalvi MADANI Tahun 2026
Selasa | 23 Jun 2026
Kerajaan MADANI terus komited dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada murid serta warga sekolah di seluruh negara.
Seiring dengan aspirasi untuk memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan berkualiti, peluncuran Program Kalvi Madani (Tuisyen Madani) 2026 serta Program Pembekalan Perabot dan Peralatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM20.8 juta.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memperkukuh sokongan pendidikan kepada komuniti SJKT, khususnya dalam aspek peningkatan pencapaian akademik murid serta penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif.
Selain sokongan akademik, aspek penyediaan infrastruktur serta kemudahan fizikal sekolah turut diberi perhatian melalui peruntukan sebanyak RM12.8 juta bagi pembekalan perabot dan peralatan kepada 362 buah SJKT berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan di seluruh negara.
Pembekalan ini melibatkan pelbagai keperluan sekolah termasuk kerusi, meja, peralatan bilik guru, peralatan makmal, almari serta kemudahan sokongan lain berdasarkan keperluan yang dikenal pasti oleh pihak sekolah. Penghantaran pembekalan pertama telah dilaksanakan pada awal Jun 2026, sebagai langkah awal memastikan sekolah-sekolah penerima dapat menikmati kemudahan yang lebih baik bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.
Kerjasama antara MITRA dan KPM melalui kedua-dua inisiatif ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkasakan pendidikan vernakular, meningkatkan kesejahteraan warga sekolah serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih berkualiti. Yayasan Didik Negara (YDN) menyambut baik pelaksanaan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan serta menyokong agenda transformasi pendidikan negara.
Melalui pendekatan kolaboratif melibatkan kerajaan, agensi berkaitan, pihak sekolah dan masyarakat, usaha memperkasa pendidikan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh demi memastikan setiap murid mendapat peluang yang terbaik untuk berkembang dan mencapai potensi diri.
#MADANIBekerja
![]()