





Lawatan Kerja YB Menteri Pendidikan ke SJKT Ladang Rini
Sabtu | 20 Jun 2026
Satu detik yang amat bermakna buat warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Rini apabila Surat Setuju Terima (SST) bagi projek pembinaan blok bangunan tambahan sekolah tersebut diserahkan dalam satu majlis yang disempurnakan oleh YB Menteri Pendidikan.
Projek pembinaan blok bangunan baharu tiga tingkat bernilai RM4.3 juta ini merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuh kemudahan pendidikan di sekolah berkenaan. Pembinaan tersebut bakal menyediakan pelbagai fasiliti baharu termasuk bilik darjah, bilik guru, bilik Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), bilik pemulihan, tandas serta kemudahan sokongan lain yang lebih selesa dan kondusif.
Pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti sekolah dalam memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran yang semakin berkembang, selaras dengan pertambahan jumlah murid saban tahun. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua murid tanpa mengira latar belakang dan jenis sekolah.
Pada majlis yang sama, Yayasan Didik Negara (YDN) turut menyampaikan sumbangan 10 unit tablet DT24 kepada SJKT Ladang Rini sebagai usaha menyokong pembelajaran digital serta memperluas akses kepada teknologi dalam kalangan murid. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, En. Mohd Nasrul bin Khairi, kepada pihak sekolah dan disaksikan oleh YB Menteri Pendidikan. Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan YDN dalam memperkasakan pendidikan negara melalui penyediaan bantuan pendidikan, sokongan digital dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada murid serta komuniti sekolah.
YDN percaya bahawa penyediaan infrastruktur yang berkualiti dan akses kepada teknologi pendidikan yang relevan merupakan antara elemen penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih efektif, inklusif dan berdaya saing. Semoga projek pembinaan baharu ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan memberi manfaat jangka panjang kepada generasi pelajar di SJKT Ladang Rini.
#MalaysiaMadani
![]()