





Education & Further Studies Fair (HEF) 2026 Tampilkan Peluang Pendidikan dan Kerjaya di Bawah Satu Bumbung
Isnin | 6 Julai 2026
Education & Further Studies Fair (HEF) 2026 bakal membuka tirainya pada 22 hingga 23 Ogos 2026 di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Kuala Lumpur, sebagai platform sehenti yang menghimpunkan lebih daripada 100 institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa bagi membantu pelajar merancang masa depan pendidikan serta kerjaya mereka.
Pameran pendidikan ini disasarkan kepada lepasan SPM, STPM, IGCSE dan UEC, selain turut mengalu-alukan kehadiran ibu bapa, guru dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat secara langsung mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat Pra-Universiti, Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pascasiswazah.
Yayasan Didik Negara (YDN) berbangga menjadi Rakan Strategik bagi penganjuran HEF 2026 dalam usaha memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti serta menyokong aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung berpeluang bertemu wakil institusi pengajian tinggi, mendapatkan maklumat berkaitan biasiswa, bantuan kewangan dan pinjaman pendidikan, serta menerima khidmat nasihat mengenai pemilihan program pengajian yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing. Selain itu, pengunjung turut boleh menyertai Bengkel Kerjaya Percuma bertajuk How to Make Good Career Decisions serta menjalani Ujian Personaliti Kerjaya secara percuma bagi mengenal pasti kekuatan, minat dan laluan kerjaya yang sesuai.
HEF 2026 juga menawarkan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pertandingan kuiz, cabutan hadiah serta promosi pendaftaran kursus di lokasi pameran. Pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, termasuk baucar rebat pengajian, komputer riba, telefon pintar, baucar makanan dan hadiah eksklusif lain, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Orang ramai dijemput hadir ke Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Ogos 2026, bermula 11.00 pagi hingga 6.00 petang. Kemasukan adalah percuma. Penganjuran HEF 2026 diharap dapat menjadi pemangkin kepada pelajar dalam membuat keputusan yang lebih tepat mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya, seterusnya melahirkan modal insan yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
![]()