





Majlis Anugerah Anak Cemerlang Kementerian Pendidikan Tahun 2025 Raikan Kecemerlangan Generasi Muda
Rabu | 09 September 2026
Seramai 94 anak cemerlang warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diraikan dalam Majlis Anugerah Anak Cemerlang Kementerian Pendidikan Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Aras 9, Blok E12, Kompleks E, Putrajaya.
Majlis tersebut merupakan anjuran PUSPANITA Cawangan Kementerian Pendidikan bersama MESCA sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap usaha serta kecemerlangan anak-anak warga KPM dalam bidang akademik.
Daripada keseluruhan penerima anugerah, seramai 71 penerima merupakan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diikuti dua penerima Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), 14 pelajar Program Matrikulasi serta tujuh penerima Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM).
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, bersama barisan pengurusan tertinggi KPM serta dihadiri oleh ibu bapa dan warga Kementerian Pendidikan.
Turut bersama meraikan kejayaan anak-anak cemerlang tersebut, Yayasan Didik Negara (YDN) telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan cenderahati kepada kesemua 94 penerima anugerah sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas pencapaian membanggakan yang telah diraih.
Pencapaian yang diperoleh bukan sahaja mencerminkan kesungguhan dan komitmen anak-anak dalam menuntut ilmu, malah turut menjadi hasil daripada sokongan berterusan ibu bapa dan keluarga yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang perjalanan pendidikan mereka.
YDN percaya bahawa pengiktirafan dan penghargaan seperti ini mampu menjadi pemangkin semangat kepada generasi muda untuk terus berusaha, meningkatkan potensi diri dan mengejar impian demi masa depan yang lebih cemerlang.
Tahniah kepada semua penerima Majlis Anugerah Anak Cemerlang Kementerian Pendidikan Tahun 2025. Semoga kejayaan yang diraih menjadi inspirasi untuk terus melangkah maju serta mencurah bakti kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan.
#bersamaYDN
#PendidikanNadiNegara
#MalaysiaMADANI
![]()