


Majlis Penyerahan Peralatan ICT (Smart Board) kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
Ahad | 21 Disember 2025
Pelaksanaan inisiatif penyerahan papan pintar kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Pulau Pinang telah berjaya dilaksanakan di peringkat negeri baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan ekosistem pendidikan digital. Program ini merangkumi penyertaan 28 buah SJKT di seluruh negeri dan memberi tumpuan kepada peluang untuk mengakses teknologi pendidikan secara inklusif.
Inisiatif ini merupakan hasil kolaboratif strategik antara Yayasan Didik Negara (YDN) agensi rasmi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta sokongan rakan strategik lain. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersepadu kerajaan dalam memperkasakan sistem pendidikan melalui pendekatan berteraskan teknologi. Pendekatan kolaboratif ini juga membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara menyeluruh.
Penggunaan papan pintar dalam bilik darjah berperanan sebagai pemudah cara pedagogi yang memperluas kaedah penyampaian pengajaran selaras dengan keperluan pembelajaran semasa. Melalui integrasi elemen visual, audio dan interaktif, proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik serta mampu menarik minat murid untuk terlibat secara aktif dalam sesi pembelajaran.
Selain itu, teknologi ini membolehkan guru mempelbagaikan strategi pengajaran dengan menyesuaikan kandungan mengikut tahap kefahaman murid, sekali gus menyokong pembelajaran berfokuskan murid. Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan daya tumpuan dan pemahaman, malah menggalakkan pemikiran kritis dan krearif dalam kalangan murid.
Secara keseluruhan, pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan pelaksanaan dasar yang berpaksikan impak, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kualiti pendidikan serta menyokong pembangunan modal insan masyarakat India melalui sistem pendidikan yang lebih progresif dan berdaya saing.
![]()