





Majlis Penyerahan Peranti DIDIK (DT24) Wakalah Zakat Kementerian Pendidikan (KPM)
Isnin | 22 September 2025
Majlis Penyerahan Peranti DIDIK (DT24) Wakalah Zakat KPM telah diadakan di Kuala Lumpur. Program ini merupakan kesinambungan usaha Yayasan Didik Negara (YDN) dalam memanfaatkan dana wakalah zakat untuk membantu murid daripada golongan yang terpilih untul memperoleh peranti digital.
Bagi pelaksanaan di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua buah sekolah telah terlibat dalam majlis penyerahan iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Tasik dan Sekolah Kebangsaan Jalan Hang Tuah (1). Masing-masing menerima sebanyak 100 unit tablet Didik DT24, menjadikan keseluruhan sebanyak 200 peranti telah diagihkan kepada murid-murid berkenaan.
Majlis penyerahan peranti ini telah diserikan dengan kehadiran Dr. Nithiananthini Kumarawel, Penolong Pengarah, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM serta Encik Nazir Bin Hussin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu. Kehadiran barisan kepimpinan pendidikan ini mencerminkan iltizam kementerian dan pihak berkepentingan dalam memastikan program bantuan digital ini memberi impak langsung kepada murid yang memerlukan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian simbolik peranti kepada beberapa orang murid penerima manfaat, yang diiringi oleh ibu bapa. Kehadiran komuniti sekolah memeriahkan suasana majlis dan menunjukkan semangat kebersamaan dalam mendukung agenda pendidikan yang progresif.
YDN amat menghargai hasil kerjasama bersama institusi zakat dalam menjayakan inisiatif ini dan berharap program seumpama ini dapat diperluaskan secara berterusan ke seluruh negara. Penyaluran wakalah zakat melalui pendekatan strategik sebegini diyakini mampu memberi kesan jangka panjang terhadap peningkatan kualiti pendidikan dalam kalangan murid yang memerlukan.