





Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) 2026
Sabtu | 28 Februari 2026
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, telah meluangkan masa menyantuni warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam dalam satu majlis moreh yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan kebersamaan. Kehadiran beliau bukan sahaja menyerikan majlis, malah turut mencerminkan keprihatinan berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga pendidik serta bakal guru.
Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi penyampaian sumbangan kepada 50 orang pelajar asnaf yang telah dikenal pasti sebagai penerima. Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan yayasan dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar yang memerlukan, khususnya dalam memastikan kelangsungan pengajian mereka berjalan dengan lancar. Inisiatif ini jelas memperlihatkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh aspek kebajikan dan sokongan sosial dalam ekosistem pendidikan guru.
Santapan moreh yang disediakan sepanjang majlis pula telah ditaja sepenuhnya oleh YDN, sekali gus menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus. Majlis berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh kesyukuran, dengan para pelajar dan pensyarah berpeluang berinteraksi secara lebih dekat bersama pimpinan kementerian.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Rektor IPGM, YBrs. Dr. Yazid bin Abdul Manap, serta Pengarah IPG Kampus Pendidikan Islam, YBrs. Dr. Khairuddin bin Said. Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi institusi ini menzahirkan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh kebajikan pelajar serta memgeratkan hubungan antara pengurusan tertinggi dan warga kampus.
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi platform penyampaian sumbangan, malah turut berperanan sebagai medium memperkukuh ukhuwah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga IPG. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan holistik bakal pendidik negara.
#bersamaYDN
![]()