





Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Sg Haji Matahir, Tawau, Sabah
Sabtu | 14 Disember 2024
Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Sungai Haji Matahir, Tawau, Sabah berlangsung dengan penuh meriah. Majlis perasmian yang dihadiri oleh lebih 1000 orang peserta, terdiri daripada murid, guru, dan masyarakat setempat, telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg Datuk Haji Ruji bin Ubi.
Bersempena dengan majlis ini Yayasan Didik Negara (YDN) selaku badan rasmi strategik kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyumbang sebanyak 100 unit peranti digital dan dua papan digital (smartboard) di SK Sungai Haji Matahir. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, YBhg Datuk Ketua Setiausaha telah menjadikan SK Sungai Haji Matahir sebagai sekolah digital. Setiap bilik darjah dilengkapi dengan teknologi terkini, termasuk papan pintar dan peranti tablet, yang memberi manfaat besar kepada para murid dalam memperkasa pembelajaran mereka secara digital.
Menerusi majlis ini juga YBhg Datuk Ketua Setiausaha menegaskan dalam ucapannya bahawa pendidikan adalah tonggak utama untuk meningkatkan taraf hidup dan memajukan masyarakat. Beliau juga menekankan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan setiap anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, tanpa ada yang tercicir, di mana jua mereka berada.