





Program Sokongan Dasar Pendidikan Digital Negeri Kelantan
Ahad | 21 Jun 2026
Usaha memperkukuh pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD) Kementerian Pendidikan Malaysia terus diperkasa menerusi penyaluran bantuan peranti dan kemudahan teknologi kepada sekolah-sekolah yang memerlukan, khususnya di kawasan luar bandar.
Bertempat di SK Bakong, Pasir Mas, satu Majlis Serahan Sumbangan Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital (PSP DPD) KPM telah diadakan sebagai simbol komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memastikan akses pendidikan digital yang lebih inklusif dan berkualiti kepada semua murid.
Melalui program ini, dua buah sekolah iaitu SK Bakong, Pasir Mas dan SK Kemahang (1), Tanah Merah telah menerima sumbangan yang merangkumi dua unit papan pintar (smartboard), 44 unit tablet serta sumbangan kewangan berjumlah RM20,000 bagi menyokong pengintegrasian teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sumbangan tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Yayasan Didik Negara (YDN) dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) yang berkongsi aspirasi sama untuk memperluas akses kepada pendidikan digital serta merapatkan jurang teknologi antara sekolah bandar dan luar bandar.
Dalam majlis yang sama, wakil Yayasan Didik Negara turut menyampaikan sebanyak 44 unit tablet kepada pihak sekolah sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasa pembelajaran digital dan meningkatkan kesiapsiagaan murid menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21.
Majlis serahan telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hajah Aniza binti Kamarulzaman, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia. Turut hadir ialah barisan Peneraju Teras DPD KPM yang terdiri daripada wakil Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Bahagian Profesionalisme Guru (BPG), Institut Aminuddin Baki (IAB), Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) serta Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP).
Program ini telah dikelolakan oleh Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dengan kerjasama Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan serta Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negeri Kelantan bagi memastikan pelaksanaan agenda pendigitalan pendidikan dapat diterjemahkan secara berkesan di peringkat sekolah.
Yayasan Didik Negara percaya bahawa akses kepada teknologi dan sumber pembelajaran digital yang berkualiti merupakan pemangkin penting dalam melahirkan generasi yang celik digital, kreatif dan berdaya saing. Diharapkan sumbangan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah dalam memperkayakan pengalaman pembelajaran, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk membangunkan ekosistem pendidikan digital yang mampan dan inklusif.
![]()