You are currently viewing Yayasan Didik Negara Bersama Rakan Strategik Menyokong Transformasi Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin

Yayasan Didik Negara Bersama Rakan Strategik Menyokong Transformasi Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin

Yayasan Didik Negara Bersama Rakan Strategik Menyokong Transformasi Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin

Sabtu | 25 Julai 2026

Yayasan Didik Negara (YDN) terus memperkukuh komitmen dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan negara melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak, sempena Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin dan Majlis Peluncuran Nuqaba’ Peringkat Kebangsaan yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Majlis bersejarah tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasakan pendidikan Islam yang progresif, inklusif dan berdaya saing melalui pembangunan modal insan yang berilmu, berakhlak mulia serta berintegriti.

Sebagai SMKA ke-62 di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda yang seimbang melalui pendekatan pendidikan yang menggabungkan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah serta penghayatan nilai-nilai Islam.

Selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan sahsiah dan kepimpinan murid, pelaksanaan Modul Aktiviti Daie serta Majlis Nuqaba’ Peringkat Kebangsaan menjadi wadah penting dalam membimbing generasi muda melalui pendekatan pembelajaran berteraskan nilai murni, kepimpinan, pembentukan jati diri dan penghayatan Islam yang seimbang. Inisiatif ini diyakini mampu melahirkan murid yang berilmu, berakhlak, berintegriti serta mempunyai keupayaan untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara.

Dalam menyokong pembangunan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, Yayasan Didik Negara melalui jaringan kerjasama bersama rakan strategik Samsung Malaysia turut menyumbang kemudahan digital kepada SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin menerusi penyerahan sebuah papan pintar (smartboard) dan 10 buah tablet bagi menyokong keperluan pembelajaran berasaskan teknologi serta memperkukuh pengalaman pembelajaran digital warga sekolah.

Sumbangan ini mencerminkan peranan penting kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta dan organisasi strategik dalam memperluas akses kepada kemudahan pendidikan berkualiti, khususnya dalam mendukung transformasi digital pendidikan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, Mohd Nasrul bin Khairi, menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan terhadap usaha YDN dalam memperkasakan pendidikan negara.

Beliau berkata, kerjasama erat yang terjalin merupakan pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada murid serta warga pendidikan, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Yayasan Didik Negara akan terus memperkukuh jaringan strategik bersama pelbagai pihak bagi menyokong usaha meningkatkan kualiti pendidikan serta memastikan lebih ramai murid mendapat manfaat daripada peluang pembelajaran yang terbaik.

#7TerasKPM

#MalaysiaMADANI

#PendidikanManusiawi

#TaatSetia

#PendidikanNadiNegara

#KurikulumKita

#RPM20262035

Loading

Leave a Reply