





Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) 2026
Khamis | 5 Mac 2026
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperteguh agenda pendigitalan pendidikan menerusi pelaksanaan Program Jaulah Ramadan yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, Nilai. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan, progresif serta selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Dalam program tersebut, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar & Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini binti Ku Ahmad, telah membentangkan elemen Teras Strategik Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035. Pembentangan ini memberi penekanan kepada kepentingan transformasi pendidikan yang berfokuskan pendigitalan, inovasi serta pembangunan modal insan yang berdaya saing di peringkat global.
Selain itu, Yayasan Didik Negara dengan kerjasama F&N Holdings Bhd. turut menyampaikan sumbangan berupa cenderahati produk kepada pelajar asnaf sebagai tanda sokongan terhadap kebajikan mereka. Program ini turut disusuli dengan slot Ziarah Cakna yang melibatkan lawatan ke rumah murid dan guru yang menghidapi penyakit kronik serta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan berterusan pihak KPM dan rakan strategik dalam memastikan kebajikan warga pendidikan sentiasa diberi perhatian, di samping menyemai nilai empati dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
![]()