





Lawatan Profesional Pengoperasian KSU KPM ke SBP Integrasi Tanah Merah (InTEra)
Ahad | 9 Ogos 2026
Walaupun baru melangkah ke fasa awal pengoperasian, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah (InTEra) terus menerima perhatian dan sokongan daripada kepimpinan Kementerian Pendidikan dalam usaha membina sebuah institusi pendidikan yang berdaya saing, berkualiti dan berteraskan kecemerlangan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim, telah mengadakan Lawatan Profesional Pengoperasian ke SBP Integrasi Tanah Merah (InTEra) bagi meninjau secara langsung perkembangan pengoperasian sekolah yang mula beroperasi pada 2 Ogos 2026. Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada aspek pengurusan dan kesiapsiagaan sekolah dalam memastikan kelancaran operasi, selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat dan berkualiti demi kesejahteraan murid.
Sebagai SBP ke-73, InTEra kini berada pada detik penting dalam pembentukan identiti serta budaya organisasinya. Tempoh sembilan hari pertama pengoperasian menjadi asas kepada pembentukan sistem, nilai dan budaya kecemerlangan yang akan mencorakkan perjalanan sekolah pada masa hadapan. Dalam konteks ini, komitmen warga sekolah serta sokongan berterusan daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) dan Kementerian Pendidikan menjadi pemangkin penting bagi memastikan InTEra dapat berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempunyai aspirasi dan identiti tersendiri.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Encik Jasmi bin Md Isa, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Penyelidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP); Tuan Haji Azhan bin Anuar, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan; Encik Nik Husni bin Nik Soh, Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset, Kementerian Pendidikan; Dr. Izhab bin Haji Ismail, Ketua Nazir Negeri Kelantan; Encik Mohd Nasrul bin Khairi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara; serta Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah.
Kunjungan ini bukan sekadar menjadi platform untuk melihat perkembangan awal pengoperasian sekolah, malah mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan memastikan institusi baharu seperti InTEra mendapat sokongan yang sewajarnya sejak awal penubuhannya.
Dengan semangat baharu dan iltizam yang tinggi, InTEra diharapkan terus mengorak langkah membina sebuah budaya pendidikan yang unggul, berdisiplin dan berorientasikan kecemerlangan. Setiap langkah yang dibentuk pada peringkat awal ini merupakan sebahagian daripada asas penting dalam membina legasi sekolah untuk generasi akan datang.
Semoga kunjungan profesional ini terus menyuntik motivasi kepada seluruh warga InTEra untuk melangkah lebih jauh, memperkukuh potensi dan mencipta pencapaian yang membanggakan.
![]()