





Majlis Perasmian Sokongan Profesional (PSP) Dasar Pendidikan Digital (DPD) Bersama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor Tahun 2026
Jumaat | 10 April 2026
Program Sokongan Profesional (PSP) Dasar Pendidikan Digital (DPD) telah berlangsung di Dewan Za’ba, SK Parit Haji Adnan, Pontian, Johor. Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim.
Program ini dirangka dengan penekanan terhadap peluasan akses pendidikan digital secara menyeluruh, berteraskan prinsip keadilan dan keterangkuman selaras dengan aspirasi SDG-4. Pelaksanaannya mengambil kira keperluan berbeza antara sekolah, khususnya melibatkan institusi berskala kecil, kawasan luar bandar serta sekolah dengan kekangan infrastruktur, agar semua murid berpeluang menikmati manfaat transformasi pendidikan digital secara seimbang.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif ini, tiga buah sekolah di negeri Johor telah dipilih iaitu SK Parit Hj Adnan, SK Pengkalan Raja dan SK Sungai Raya menerima sumbangan papan pintar (Smart board) jenama IMAGO dari Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO). Manakala sumbangan peranti DIDIK (DT24) dari Yayasan Didik Negara (YDN) kepada murid turut disumbangkan untuk kegunaan murid. Tambahan lagi, Marrybrown yang merupakan rakan strategik kepada YDN turut menyumbang 100 beg sekolah kepada setiap sekolah sebagai tanda sokongan kebajikan kepada murid.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa ekosistem pendidikan yang lebih inklusif dan berdaya saing. Diharapkan usaha bersepadu ini mampu memberi impak berpanjangan kepada pembangunan kompetensi digital murid, seterusnya melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi tuntutan masa hadapan.
Tahun ini, Tahun kita!
![]()